Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid menunjukkan gambar dua suspek lelaki warga Sri Lanka yang diburu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada 23 September 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki diburu berkait kes tiga mayat ditemui bertindan dalam stor

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Dua lelaki Sri Lanka yang sedang diburu polis kerana disyaki terlibat dengan pembunuhan tiga lelaki rakyat negara itu di sebuah rumah kedai di Sentul Sabtu lepas, dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata beliau yakin kedua-dua lelaki terbabit masih berada di kawasan sekitar lokasi kejadian dan polis mempergiat usaha mengesan mereka.

“Saya yakin kes ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Setakat ini dua orang telah dirakam percakapan iaitu ibu bapa kepada seorang daripada mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ditanya sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan konflik etnik di Sri Lanka, Allaudeen menafikan perkara itu.

Sabtu lepas, mayat tiga lelaki ditemukan dalam keadaan bertindan dengan tangan terikat dan kepala disarung dengan beg plastik di sebuah bilik stor rumah kedai di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir pada 11 malam.

Dua daripada mangsa merupakan penyewa bilik dalam premis yang disewa pasangan suami isteri warga Sri Lanka itu manakala seorang lagi adalah anak lelaki pasangan berusia lingkungan 40-an itu.

Berhubung kes ancaman bom di Bank Negara Malaysia (BNM), Allaudeen berkata polis masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mengenai sumber e-mel ancaman yang diterima seorang daripada kakitangan BNM.

Rabu lepas, kakitangan BNM menerima satu e-mel ancaman bom pada 3 petang, namun pemeriksaan hampir dua jam oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia mengesahkan ancaman itu tidak benar dan pusat kewangan negara itu disahkan selamat.

-BERNAMA


Pengarang :