AGENDAJENAYAH

Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes rusuhan bersenjata

GUA MUSANG, 3 SEPT: Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Utama, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an ditahan 4.30 petang hari sama.

Beliau berkata dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa merupakan pekerja di kedai runcit berkenaan diserang sekumpulan lelaki susulan perselisihan faham selepas memarahi suspek yang mencuri satu karton air minuman berkarbonat dari premis berkenaan.

“Akibat tidak puas hati kerana dimarahi mangsa, enam rakan suspek datang menyerang mangsa di kedai tersebut dengan menggunakan parang, batang besi dan kayu panjang sehingga menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

“Selain itu, suspek juga merosakkan barangan kedai runcit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata polis turut merampas senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian termasuk sebilah golok, buku lima dan sebatang cota kayu.

Beliau berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis benzo dan methamphetamine.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan merusuh serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :