KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Dua individu rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas bertembung dengan lori kontena di Jalan Kuala Garing, Rawang dekat sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 3.53 pagi.
Beliau berkata setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati dua mangsa yang rentung melibatkan lelaki dan wanita tempatan berusia 26 dan 23 tahun.
“Kebakaran itu melibatkan kereta jenis Honda City yang terbakar 70 peratus manakala lori kontena terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata pemandu lori kontena itu selamat selepas sempat keluar dari kenderaan terbabit.
– BERNAMA