Orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan ketika Kempen Kesihatan Percuma DUN Bukit Melawati di Taman Senangin, Kuala Selangor pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bandar Baru Klang anjur program saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang akan menganjurkan program saringan kesihatan percuma bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan itu.

Wakil rakyat Bandar Baru Klang berkata pemeriksaan kesihatan yang bakal disediakan termasuk saringan fizikal, ujian tekanan darah, ujian darah, kadar gula dalam darah dan air kencing.

“Sekarang masih lagi peringkat perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO). Kita jangka program ini boleh bermula seawal Oktober.

“Kita mahu rakyat cakna mengenai pentingnya rutin saringan kesihatan bagi mencegah selain merawat dari awal sekiranya ada tanda penyakit,” kata Dr Quah Perng Fei kepada Selangorkini.

Perng Fei berkata pihaknya mengalu-alukan pihak lain termasuk NGO yang ingin bekerjasama bagi menjayakan kesinambungan program berkenaan.

“Jika dapat buat setiap bulan lebih baik jadi kita dapat beri peluang lebih ramai penduduk Bandar Baru Klang untuk mendapatkan saringan kesihatan secara percuma,” katanya.

Kerajaan Negeri pada tahun lalu menawarkan program pemeriksaan kesihatan percuma melibatkan peruntukan RM3.1 juta menerusi program Selangor Saring.

Pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan termasuk saringan fizikal, ujian darah dan kencing manis, mata, servik dan barah payudara, ujian darah najis okulta atau kolorektoral serta prostat.


Pengarang :