ADN Kinrara Ng Sze Han beramah mesra dengan pengunjung pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kinrara di Masjid Baitulamin, Pusat Bandar Puchong pada 11 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kinrara tumpu kawasan flat anjur Jualan Ehsan Rahmah

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SUBANG JAYA, 11 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menumpu beberapa kawasan rumah flat sebagai lokasi penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada masa akan datang.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata langkah itu membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

“Kalau boleh kita mahu masuk ke seluruh pelosok DUN Kinrara, tapi ia mungkin sukar kerana DUN ini merupakan yang terbesar bukan di peringkat Selangor tapi seluruh Malaysia dengan jumlah 125,782 pengundi.

“Kami masih menunggu jadual daripada pihak penganjur, sekiranya ada slot kosong kita akan fokus ke kawasan rumah flat supaya mereka yang tidak berkemampuan dapat menikmati jualan murah ini,” katanya.

Orang ramai yang hadir pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kinrara di Masjid Baitulamin, Pusat Bandar Puchong pada 11 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Terdahulu, JER di Masjid Baitulamin, Pusat Bandar Puchong mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pelbagai kaum.

Sze Han berkata program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPDS) dengan kerjasama jawatankuasa masjid menjadi lokasi yang baik selain dapat memupuk semangat perpaduan.

“Respon yang kita terima sangat baik yang mana kita terima lebih 300 pengunjung yang tidak melepaskan peluang berbelanja barangan keperluan hari ini,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :