Orang ramai memilih buku yang dijual dengan harga murah ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 30 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ekspo Buku PJ tawar 3,000 judul pelbagai genre, sasar 25,000 pengunjung

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sebanyak 3,000 judul naskhah pelbagai genre ditawarkan sepanjang penganjuran Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) edisi ketiga bermula 9 hingga 17 September ini.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) berkata pelbagai kategori buku boleh didapati termasuk novel, fiksyen, agama, motivasi, kanak-kanak dan lain-lain.

Menurut Sheikh Faisal Sheikh Mansor, program anjuran bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut menawarkan potongan harga istimewa lebih 80 peratus bagi koleksi buku terpilih.

“Lebih menarik pengunjung terawal berpeluang mendapat tambahan diskaun sebanyak RM10 bagi pembelian buku melebihi RM20 menerusi pemberian baucar yang akan diedarkan di PJBX nanti.

“Kita harap PJBX mendapat sambutan memandangkan pengunjung boleh memperoleh pelbagai jenis bahan bacaan yang ditawarkan lebih 40 pempamer termasuk Sasbadi yang baharu mengesahkan penyertaan mereka kelmarin,” katanya ketika dihubungi.

Sheikh Faisal Sheikh Mansor menambah pihaknya yakin ekspo terbabit mampu menarik kira-kira 25,000 pengunjung sepanjang sembilan hari penganjurannya.

Sebelum ini, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir memaklumkan lebih 30 penerbit buku popular akan menyertai ekspo berkenaan antaranya Karangkraf, Institut Buku Darul Ehsan (IBDE), PTS, Pelangi dan Iman Publications.

Tambahnya, MBPJ turut menyediakan baucar pembelian buku kepada pengunjung terawal supaya mereka boleh membeli bahan bacaan yang diminati pada harga lebih rendah.

Rakan strategik MBPJ seperti institusi pengajian awam dan swasta juga turut menjayakan beberapa slot aktiviti kepada pengunjung antaranya pemeriksaan gigi oleh Lincoln University, kepentingan pendidikan awal kanak-kanak oleh Saito University College dan kesedaran keselamatan jalan raya oleh UiTM.

 


Pengarang :