Peserta mendengar forum sempena Seminar Masyarakat Majmuk: Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 16 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Bersama menggembleng tenaga, pemikiran wujud negeri harmoni

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Selangor mengajak segenap lapisan masyarakat negeri ini bersama menggembleng tenaga dan pemikiran bagi mewujudkan sebuah negeri yang harmoni.

Seruan EXCO hal ehwal agama Islam itu juga selaras mencapai masyarakat madani seperti diperkenal kerajaan melalui enam teras meliputi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Dr Mohammad Fahmi Ngah menjelaskan keharmonian masyarakat majmuk menjadi aset berharga dalam pembangunan negeri terutama daripada aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

“Keharmonian sukar dicapai tanpa kerjasama dan kesepaduan luar biasa antara kaum di negeri ini,” katanya ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Berucap merasmikan Seminar Masyarakat Majmuk:’Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih’, Dr Mohammad Fahmi meminta rakyat menekankan nilai toleransi, saling pengertian dan keadilan demi memelihara keharmonian.

Tambah beliau, peluang yang adil juga harus dijaga untuk semua rakyat tanpa memandang latar belakang.

“Marilah kita terus memelihara nilai ini dan bekerja menuju masa depan yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor yang menghimpunkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dihadiri Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Seminar itu mendedahkan kepada masyarakat majmuk kepelbagaian agama, budaya dan adat dalam mencapai perpaduan selain memupuk semangat kesepakatan.

Program turut bermatlamat merapatkan jurang perkauman dan mengelak salah faham agama serta meningkatkan interaksi positif dalam masyarakat majmuk.

 


Pengarang :