Pantai Batu Laut, Kuala Langat antara lokasi sesuai untuk aktiviti perahu layar dan sering dijadikan lokasi penganjuran pertandingan sukan berkenaan. Lokasi ini turut dilengkapi dengan pusat latihan sukan perahu layar dan kemudahan awam. Foto Arkib Selangorkini
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Rangka dasar baharu rancang pembangunan pesisir pantai negeri

SHAH ALAM, 10 SEPT: Satu dasar baharu akan dirangka berhubung rancangan pembangunan di kawasan pesisir pantai di Selangor dengan mengambil kira aspek kenaikan paras air laut, kata EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim.

Beliau berkata rangka berkenaan akan dilaksanakan bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) dengan kerjasama EXCO Kesihatan Awam dan Alam Skitar Jamaliah Jamaluddin.

Katanya, perkara itu juga turut diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan mengambil kira kesan kenaikan paras air laut yang dijangka memberi kesan besar selepas ini.

EXCO Infrastruktur Dan Pertanian Negeri Selangor, Ir. Izham Hashim meninjau projek pelebaran jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Saya telah bermesyuarat menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SEJAM) untuk melihat kesan jangka panjang kenaikan paras air laut yang dijangka beri kesan besar kepada kawasan pesisir pantai kita termasuk di Klang,” katanya ketika mengulas persediaan infrastruktur oleh Kerajaan Negeri bagi menghadapi fenomena air pasang besar pada hujung tahun.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pesta Buah-buahan Selangor yang julung kali diadakan selama dua hari bermula semalam.

Izham berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan yang kerap berlaku ban pecah seperti di Sepang dan Hulu Langat, serta telah menggantikan batu granit rock armor dan geo-bag bagi mengukuhkan struktur ban di kawasan itu.

Sementara itu, Exco Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri telah bersiap siaga berhubung fenomena air pasang besar yang kebiasaannya mengakibatkan banjir dengan setiap unit bencana di kesemua PBT sedia digerakkan jika bencana itu berlaku.

– BERNAMA


Pengarang :