Kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena air laut pasang besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Klang pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang, penduduk diminta berwaspada

SHAH ALAM, 28 SEPT: Orang awam khususnya penduduk Pelabuhan Klang dinasihat sentiasa berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal bermula esok sehingga 2 Oktober ini.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang memaklumkan bacaan paras air laut di daerah itu dijangka meningkat setinggi 5.7 meter yang mungkin membawa risiko banjir.

Berdasarkan info grafik yang dikongsi menerusi Facebook, bacaan paras air laut dijangkakan setinggi 5.5 meter bermula jam 5.52 pagi esok.

Pada Sabtu dan Ahad pula, bacaan paras air laut adalah 5.7 meter jam 6.31 pagi (Sabtu) dan 7.07 pagi pada Ahad. Manakala pada 2 Oktober (Isnin), paras air laut dijangka setinggi 5.6 meter jam 7.38 pagi.

“Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di stesen Pelabuhan Klang pada 29 September sehingga 2 Oktober ini.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua warga Klang untuk sentiasa peka dan cakna dengan keadaan semasa,” katanya.

Orang awam juga dinasihat sentiasa mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dan arahan lanjut pihak agensi kerajaan bertanggungjawab.


Pengarang :