Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berucap ketika Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Festival seni capai matlamat, kenali bermacam warisan budaya antarabangsa

PETALING JAYA, 26 SEPT: Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama 2023 yang melabuhkan tirai malam tadi mencapai matlamat untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan warisan antarabangsa kepada masyarakat.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata acara anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu membuka ruang kepada orang ramai mempelajari dan mengenali lebih dekat keunikan budaya negara lain.

“Sepanjang seminggu penganjuran, festival ini membantu menonjolkan pelbagai acara kebudayaan kepada penduduk tempatan dan pengunjung luar negara.

“Pertukaran dan persembahan budaya ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan kefahaman antarabangsa yang merentas budaya.

“Ia juga membantu meningkatkan toleransi dan menghormati perbezaan budaya lain sekali gus memudahkan kerjasama antara negara selepas ini,” katanya di Dewan Sivik MBPJ di sini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir bergambar bersama wakil-wakil setiap negara selepas sesi pertukaran cenderahati sempena Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berucap sempena majlis apresiasi festival itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kumpulan kebudayaan dari negara terlibat yang menghiburkan pengunjung dengan persembahan memukau.

“Saya faham anda semua telah mengorbankan masa dan tenaga demi menjayakan festival kali ini. Dengan penuh rasa hormat, saya berterima kasih kepada anda semua atas sumbangan, komitmen serta penyertaan,” katanya.

Bertemakan ‘Menghayati Budaya dan Warisan’, festival itu melibatkan penyertaan 26 negara antaranya Indonesia, Singapura, Jepun, China, India, Thailand, Iran, Filipina, Sri Lanka, Timor Leste dan Lithuania.

Sepanjang penganjuran sejak 21 September, festival sarat dengan aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan antarabangsa, seminar kerjaya seni dan Persidangan Antarabangsa PJ 2023.

Pada 2015, Selangor mengisytihar bandar raya Petaling Jaya sebagai kota seni selaras komitmen pihak berkuasa tempatan terbabit menjadikan MBPJ destinasi pelancongan melalui penganjuran festival itu.

Persembahan pembukaan oleh artis Budaya MBPJ sempena Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Nyanyian lagu tema Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama oleh artis budaya MBPJ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :