Jemaah menunaikan solat Jumaat dengan saf rapat susulan peralihan negara ke fasa endemik ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Fitnah punca umat berpecah, jejas usaha perkukuh Islam

Petikan khutbah Jumaat bertajuk Bahaya Fitnah pada 8 September 2023.

Fitnah menurut bahasa bermaksud malapetaka, ujian dan cubaan. Mengikut Kamus Dewan fitnah adalah satu bentuk tuduhan atau cerita yang dibuat-buat serta direka-reka bagi memburukkan seseorang bagi tujuan melahirkan kebencian, menjatuhkan reputasi dan kesan negatif terhadap seseorang individu atau pihak tertentu.

Setiap manusia dilarang sama sekali melakukan perbuatan fitnah ini kerana kesan yang terlalu buruk yang boleh dibawa terhadap masyarakat akibat fitnah. Amalan fitnah memfitnah adalah punca kepada kegagalan kesatuan ummah dan pembinaan tamadun mengikut acuan Islam, malah mengundang kemurkaan Allah SWT dan memusnahkan cita-cita mencapai keselamatan atau kejayaan. Uqbah bin ‘Amir Radiallahuanhu menceritakan:

“Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah membuatkan kita selamat? Baginda menjawab: “Jagalah lisanmu, hendaklah rumahmu membuatmu lapang dan menangislah kerana dosa-dosamu.” (Riwayat al-Tirmizi).

Berdasarkan hadis tersebut, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman hendaklah menjaga lisannya daripada terjebak dengan budaya fitnah yang sangat merbahaya dan kejam. Lisan yang tidak terlibat dengan sebarang budaya fitnah akan menyelamatkan seseorang muslim itu daripada di azab oleh Allah SWT. Menjaga lisan boleh membawa umat Islam menjadi orang yang selamat di hadapan Allah SWT. Jagalah tangan-tangan kita dari menumpahkan darah sesama saudara se-Islam, sama ada dengan menyakiti, melukai, atau membunuh seorang muslim lainnya.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Di akhir zaman ini, kejayaan individu atau ummah seluruhnya adalah kejayaan menyelamatkan diri dari terjebak dengan perbalahan dan fitnah.

Fitnah yang berlaku sebegini rupa pada hari ini disebut sebagai Fitnah Syubhat. Fitnah Syubhat bererti samar-samar atau tidak jelas. Dalam Fitnah Syubhat, seseorang menjadi rosak ilmu dan keyakinannya sehingga menjadikan perkara makruf menjadi samar dengan kemungkaran, sementara kemungkaran sendiri tidak dihindari. Fitnah Syubhat merupakan fitnah paling berbahaya kerana kurangnya ilmu dan lemahnya pengamatan mata hati, ketika diiringi dengan niat buruk dan hawa nafsu maka timbullah fitnah besar dan keji. Fitnah Syubhat membawa kepada persepsi kekafiran dan kemunafikan yang menjadi sebab perpecahan. Rasulullah SAW amat bimbang tentang Fitnah Syubhat, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah Al-Aslamy bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya di antara yang aku takutkan atas kamu adalah syahwat mengikuti nafsu pada perut kamu dan pada kemaluan kamu serta fitnah-fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ahmad).

Pada hari ini, kita lihat fitnah sentiasa berlegar di segenap medium media massa dan perantara. Janganlah kita rosakkan diri kita dengan amalan buruk ini. Janganlah jadikan diri kita sebagai salah seorang individu yang menjadi kepada penyebar fitnah. Jadilah manusia yang sentiasa membawa berita yang benar dan sentiasa menjauhi fitnah.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Rasulullah SAW merupakan ikon dan suri tauladan yang terbaik bagi seluruh umat Islam di dunia. Walaubagaimanapun, Baginda tidak sunyi daripada difitnah bahkan jauh lebih berat berbanding kita. Akan tetapi, Rasulullah SAW tidak pernah menyimpan dendam dan Baginda menghadapi fitnah-fitnah tersebut dengan tenang berlandaskan ajaran Islam menerusi al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, sebagai ikutan yang terbaik maka umat Islam hendaklah mengambil sikap yang digariskan oleh Islam dalam menerima sesuatu berita untuk menghindari fitnah, antaranya:

Pertama: Kita perlu hindari dan menolak tuduhan yang bersifat prasangka. Ini kerana prasangka menjadi perhatian pihak lawan mahupun kawan. Hindarilah dari melakukan perkara yang boleh menimbulkan prasangka buruk.

Kedua: Jangan sekali-kali menerima sesuatu perkara tanpa ada bukti atau sokongan yang kukuh. Setiap berita yang tidak disertakan dengan bukti atau dalil haruslah ditolak oleh setiap umat Islam.

Ketiga: Sebagai muslim yang beriman, janganlah kita mengikut hawa nafsu dengan menokok tambah berita yang tidak benar. Ini menyebabkan individu dan ummah terjerumus ke dalam lembah kehancuran dan kemusnahan.

Keempat: Kita hendaklah menjauhi sikap suka membalas berita bohong dengan berita bohong yang lain dan membalas perkara yang dusta dengan perkara lain yang serupa.

Hadirin sekalian,

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai fitnah dan cerita palsu yang telah dilemparkan serta disebarkan oleh pihak tertentu terhadap dasar dan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama.

Antara contoh fitnah yang telah dilemparkan adalah pihak kerajaan dan MAIS dikatakan telah menghalang usaha-usaha dakwah apabila peruntukan undang-undang dan keputusan-keputusan Majlis Agama Islam Selangor mengetatkan syarat-syarat keperluan tauliah mengajar di Selangor dikuatkuasakan. Begitu juga dalam hal tindakan kerajaan dan pihak MAIS dan JAIS melaksanakan pemutihan sekolah-sekolah tahfiz swasta dan persendirian dengan mengarahkan pendaftaran bagi tujuan keseragaman kurikulum dengan mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Langkah-langkah yang diambil oleh pihak MAIS dan JAIS bagi menjamin keselamatan tempat tinggal dan tatakelola yang lebih baik serta keselesaan bagi para pelajar ini ditohmah sebagai suatu tindakan mahu menutup sekolah-sekolah agama oleh kerajaan dan MAIS dan JAIS. Tindakan kerajaan membuat penyusunan semula guru KAFA turut telah digembar-gemburkan sebagai cara kerajaan mahu menutup sekolah-sekolah agama di Negeri Selangor.

Adakah tuduhan-tuduhan liar ini adalah cara yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita semua? Dalam hal ini, mimbar ingin menegaskan, berhentilah dari melemparkan fitnah dan tohmahan ini semua. Mimbar juga berpesan, sebelum membuat sebarang kenyataan dapatkanlah fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas kerana dibimbangi perbuatan sebegini akan merisaukan para ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap Institusi Agama dan Pihak Berkuasa Agama khususnya di negeri Selangor ini.


Pengarang :