Temu bual Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail di Pusat Khidmat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Gagasan Rumpun Selangor agenda kukuh perpaduan rakyat, pemimpin

SHAH ALAM, 12 SEPT: Gagasan Rumpun Selangor bakal menjadi agenda memperkukuh semangat perpaduan nasional di negeri ini, kata EXCO perpaduan.

Datuk Rizam Ismail berkata beliau juga melihat perpaduan nasional sebagai keutamaan baginya mengemudi portfolio berkenaan.

“Ia bukan semata-mata soal perpaduan tetapi juga aspek hubungan harmoni dan kesatupaduan antara pemimpin dan penduduk setempat dengan semangat kekitaan yang tinggi antara masyarakat berbilang kaum.

“Saya meletakkan Gagasan Rumpun Selangor sebagai antara perkara keutamaan yang akan diterjemahkan di bawah portfolio saya,” katanya dalam temubual di Selangorfm semalam.

Rizam berkata Selangor adalah mini Malaysia yang mempunyai kepelbagaian demografi penduduk justeru Gagasan Rumpun Selangor penting bagi menterjemah dan memperkukuh agenda perpaduan nasional.

“Kita boleh datang daripada pelbagai asal usul, agama, etnik, lahir di negeri berbeza tetapi bermastautin atau bekerja di Selangor ini bermakna kita dalam rumpun ini.

“Perlu ada satu semangat keluarga besar Selangor yang saling membantu satu sama lain berkongsi persamaan dan mendepani perbezaan tetapi akhirnya kita mempunyai tunjang aspirasi yang sama,” katanya.


Pengarang :