Kakitangan GM Klang bergambar di depan pintu masuk tambahan di pasar raya berkenaan 8 April 2022. Foto Facebook GM Klang
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hab borong terbesar dunia pilih GM Klang pamer alatan dapur, kosmetik

KLANG, 20 SEPT: Pusat borong GM Klang mencipta sejarah apabila dipilih oleh hab pasaran borong komoditi terbesar dunia, Yiwu China Commodities City (YCCC), China sebagai pusat pameran perdagangan pertamanya di Malaysia.

Antara barangan yang dipamerkan YCCC di pusat borong itu adalah produk pembungkusan, perkakas dapur, aksesori dan kosmetik.

Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan keupayaan perdagangan barangan China ke Malaysia berjumlah RM10 bilion pada setiap tahun.

“Pemilihan Yiwu adalah di serata dunia (dan) Yiwu memilih GM Klang kerana kami telah membina hubungan sejak sekian lama. Malah, kami antara yang pertama melawat bandar Yiwu di China pada April lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan bilik pameran Yiwu Selection Malaysia dan sesi padanan perniagaan di sini semalam.

Lim berkata, syarikat itu juga komited untuk menjalinkan kerjasama menerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI) dalam usaha untuk mengeratkan hubungan perdagangan antara China dan Malaysia sejak 12 tahun lepas.

Menurutnya setakat ini, YCCC telah membawa 26 pembekal terbaik dari China ke Malaysia sekali gus memudahkan usahawan Malaysia membeli barangan berkualiti tinggi secara terus dari pusat pemborong China tanpa melalui pihak ketiga.

“Peniaga dan pemborong di Malaysia boleh membeli barangan dari Yiwu walaupun tidak ke sana. Mereka bukan sahaja dapat berunding dengan pembekal Yiwu, malah melihat sampel yang dipamerkan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa tahun lepas, Yiwu pernah membuka peluang kepada GM Klang untuk membuka pusat pameran di China, tetapi tidak dapat dilaksanakan berikutan pengusaha tempatan masih tidak bersedia.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak akan melepaskan peluang itu pada masa akan datang dan menyeru pengusaha tempatan agar lebih agresif untuk merebut peluang perniagaan di peringkat antarabangsa.

-BERNAMA


Pengarang :