Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj bergambar bersama pemenang pertama kategori sekolah dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam pada hari terbuka program kemahiran dan vokasional (TVET) Yayasan Raja Muda Selangor di Kolej Komuniti Kuala Langat, Banting pada 26 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hari Terbuka Yayasan Raja Muda ketengah bakat, tingkat kemahiran belia

KUALA LANGAT, 27 SEPT: Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) membuka peluang belia mengembangkan bakat dalam Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nurul Azwa Rodzi berkata ketika ini tiada pertandingan kemahiran khusus yang boleh disertai pelajar bagi menonjolkan bakat ciptaan inovasi.

“Di Malaysia, kita hampir tiada pertandingan TVET yang boleh disertai pelajar. Kita hanya ada pertandingan kemahiran, itu pun di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

.Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) Nurul Azwa Mohd Rodzi ditemui pada hari terbuka program kemahiran dan vokasional (TVET) Yayasan Raja Muda Selangor di Kolej Komuniti Kuala Langat, Banting pada 26 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Bagi saya, pertandingan ini adalah di peringkat awalan di mana kita tidak hadkan kepada ciptaan robotik sahaja, tetapi kita terbuka kepada apa jua kemahiran,” katanya pada Hari Terbuka YRMS di Kolej Komuniti Kuala Langat di sini semalam.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan majlis itu.

Program itu meraikan pemenang bagi pertandingan TVET kategori kolej dan sekolah selain julung kali menampilkan pertandingan pembentangan perniagaan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY).

Sementara itu, lima pelajar dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam diumum pemenang pertama bagi pertandingan TVET kategori sekolah.

Mencipta ampaian pengering mudah alih, semua pelajar tingkatan lima aliran Sains itu mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkan ciptaan dengan kos tidak sampai RM100.

Wakil pelajar Adeeb Sofia Idris berkata idea tersebut timbul selepas beliau yang tinggal di asrama tidak dapat mengangkat pakaian ketika hujan kerana perlu menghadiri kelas.

Hari terbuka program kemahiran dan vokasional (TVET) Yayasan Raja Muda Selangor di Kolej Komuniti Kuala Langat, Banting mendapat sambutan daripada orang ramai pada 26 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya tinggal di asrama, jadi saya fikir, mengapa saya tidak cuba selesaikan masalah saya sendiri dahulu untuk buat ciptaan baharu.

“Saya harap ciptaan ini dapat membantu orang lain terutamanya mereka yang tidak mampu memiliki mesin pengering yang berkos tinggi,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil penghargaan.


Pengarang :