AGENSISELANGOR

Hijrah Selangor tawar pembiayaan kewangan, modal mula niaga

SHAH ALAM, 27 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menawarkan pembiayaan kewangan sehingga RM5,000 sebagai modal perniagaan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Agensi itu memaklumkan bantuan yang disediakan itu adalah melalui Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NaDI).

“Skim ini terbuka kepada rakyat Selangor khususnya wanita yang mewakili isi rumah dengan syarat pembiayaan sangat mudah.

“Skim ini juga terbuka kepada semua sektor perniagaan dan untuk maklumat lanjut boleh layari www.hijrahselangor.com atau hubungi 19 cawangan Hijrah Selangor yang berhampiran,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Antara syarat permohonan adalah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 65 tahun, bersetuju menubuhkan kumpulan dengan ahli tiga orang dan peminjam adalah wanita mewakili isi rumah.

Permohonan secara dalam talian boleh dibuat menerusi pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah Selangor menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.

Selain NaDI, Hijrah Selangor turut menawarkan skim i-Bisnes, i-Bermusim, Zero to Hero, i-Agro, i-Lestari dan Go Digital.


Pengarang :