Syarikat selenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) selesai kerja baik pulih dan menurap semula jalan raya di Jalan Marmu, Sepang pada 1 September 2023. Foto Laman X Infrasel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Infrasel giat baik pulih jalan seluruh negeri, jangka selesai bulan ini

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerja membaik pulih jalan di seluruh negeri menerusi Projek Turapan Mega sejak Mei lalu diteruskan ke lokasi baharu di Sepang.

Syarikat selenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) memaklumkan kerja baik pulih dan menurap semula jalan raya selesai dilaksanakan di Jalan Marmu, Sepang pada 1 September.

“Pada 1 September kerja membaik pulih dan menurap semula jalan bersempena dengan #TurapanMegaSelangor2023 telah selesai di Jalan Marmu, Sepang. Keselesaan buat semua,” maklumnya di laman X.

Menurut agensi itu pada 30 Ogos, pihaknya juga selesai menilai tapak kerja yang bakal dilaksanakan projek baik pulih dan turapan jalan di Kampung Sungai Buloh.

Infrasel sebelum ini selesai melaksanakan beberapa projek baik pulih jalan di daerah Kuala Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling.

Pada 22 Ogos lalu, Eksekutif Operasi Infrasel Abdullah Hanif Abd Ghalib memaklumkan pelaksanaan 93 projek baik pulih jalan secara besar-besaran di seluruh negeri sudah mencapai 86 peratus.

Katanya pembaikan jalan menerusi Projek Turapan Mega dengan kos RM50 juta dijangka selesai pada bulan ini dengan keutamaan jalan yang perlu dibaiki turut mengambil kira aduan orang awam.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer (km).

Katanya projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pejabat daerah dan tanah (PDT).

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (8).

Syarikat selenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) selesai kerja baiik pulih dan menurap semula jalan raya di Jalan Marmu, Sepang pada 1 September 2023. Foto Laman X Infrasel

Pengarang :