SHAH ALAM, 11 SEPT: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah menemui orang ramai di dua lokasi mulai 10 pagi ini.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi Facebook memaklumkan jualan diadakan di Masjid Baitulamin Pusat Bandar Puchong (DUN Kinrara) dan Dewan Palembang Rantau Panjang (DUN Sementa).
Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS