Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun bekalan beras dan telur ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Lembah Jaya di Taman Ampang Indah, Ampang Jaya pada 17 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan Rahmah Beras bakal dilaksana atasi isu kenaikan harga

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan akan melaksanakan Jualan Rahmah Beras dalam masa terdekat bagi menangani isu kenaikan harga beras import selain kekurangan beras tempatan ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh menjelaskan mekanisme pelaksanaan akan diumum tidak lama lagi sebagai usaha meringankan beban rakyat.

“Kementerian cuba cari jalan dalam ruang lingkup bidang kuasa untuk tangani harga beras import dan tempatan dengan melancarkan Jualan Rahmah Beras. Kita akan umum mekanisme pelaksanaan.

“Ini untuk membantu rakyat yang betul-betul tidak mampu supaya dapat beli beras dengan harga subsidi. Tidak banyak, tetapi dapat membantu rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga beras tempatan tidak akan naik meskipun harga beras import dari India meningkat sebanyak 40 peratus.

Jualan Rahmah yang diperkenal awal tahun ini menawarkan diskaun harga barangan makanan dan keperluan asas hingga 30 peratus dan dilaksana di 1,193 lokasi setakat Ogos.


Pengarang :