Orang ramai menyeberangi jalan di hadapan Menara Berkembar Petronas di ibu negara pada 18 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah penganggur menurun kepada 579,200 orang setakat Julai

SHAH ALAM, 8 SEPT: Bilangan penganggur di negara ini terus menurun kepada 579,200 orang setakat Julai lalu, dengan kadar pengangguran 3.4 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh berkembang sederhana dengan jumlah penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.34 juta orang.

“Bilangan tenaga buruh pada Julai naik 0.1 peratus kepada 16.91 juta orang berbanding Jun, mencatat kadar penyertaan tenaga buruh lebih tinggi iaitu 70.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas kedudukan guna tenaga dalam Statistik Tenaga Buruh Malaysia, jelasnya, kategori pekerja, yang membentuk komposisi terbesar penduduk bekerja, merangkumi sumbangan 75.4 peratus.

Beliau berkata kategori tersebut meningkat bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.31 juta orang sementara yang bekerja sendiri meningkat 0.4 peratus merekodkan 2.96 juta orang.

Daripada sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata perkhidmatan dalam bilangan penduduk bekerja meningkat terutama untuk makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta pendidikan.

“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian juga kekal dalam trend positif manakala sektor pembuatan dan pertanian menurun sedikit,” katanya.

Menurut statistik tersebut, kadar pengangguran bagi belia 15 hingga 24 tahun turun 0.1 mata peratus kepada 10.9 peratus, dengan bilangan keseluruhan seramai 311,200 orang.

Kadar pengangguran bagi belia 15 hingga 30 tahun juga turun kepada 6.8 peratus (444,800 orang) sementara bilangan penduduk di luar tenaga buruh turun kepada 7.23 juta orang.

 

 


Pengarang :