EXCO Sukan Najwan Halimi menyampaikan faedah kepada Saadiah Yahaya ketika program Ziarah Prihatin ke atas pencarum Perkeso di Taman Cempaka Sari, Klang pada 11 September 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jurutera MSN Selangor terlantar akibat kemalangan dibantu Perkeso

KLANG, 11 SEPT: Beban ditanggung Jurutera Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohd Nur Farith Shakba yang terlantar akibat kemalangan Jun lalu mendapat pembelaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso negeri berkata selain menerima faedah pampasan hilang upaya kekal berjumlah RM189,218.70, Mohd Nur Farith, 34, juga layak menerima faedah hilang upaya kekal berkala berjumlah RM3,036 yang akan dibayar secara bulanan seumur hidup.

“Ibu penerima juga akan menerima RM500 sebulan di bawah faedah elaun layanan sentiasa kerana menjaga Mohd Nur Farith sepanjang masa.

“Mohd Nur Farith layak menerima faedah ini kerana mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Bayaran semua faedah telah dibuat bermula 1 September lalu,” kata Ismail Abi Hashim kepada pemberita selepas melakukan Ziarah Prihatin di sini hari ini.

Cek pembayaran faedah berkenaan diserahkan oleh EXCO Sukan Najwan Halimi kepada ibu Mohd Nur Farith, Saadiah Yahaya, 65, di rumah mereka dekat Taman Cempaka Sari, Klang.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang Dr. Quah Perng Fei dan Pengarah MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Sementara itu, Saadiah meluahkan rasa syukur serta berterima kasih kepada Perkeso atas penyerahan faedah caruman yang membantu meringankan beban ditanggung dan akan diguna untuk kos rawatan Nur Farith.

“Bantuan Perkeso ini kurang sikit beban saya sekeluarga. Ia akan digunakan untuk proses rawatan berkala anak saya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah selain persediaan untuk rawatan rehabilitasi,” katanya.

Dalam kejadian 17 Jun lalu Mohd Nur Farith dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terlibat dalam kemalangan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Mohd Nur Farith mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan saraf setelah berlanggar dengan tilam yang dibawa kenderaan itu sebelum tilam terbabit menghempap ke atasnya.


Pengarang :