AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kanak-kanak lima tahun korban keenam kemalangan di Segamat

SEGAMAT, 2 SEPT: Seorang kanak-kanak lelaki lima tahun meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, menjadikannya korban keenam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata kanak-kanak itu dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada kepala dan badannya.

“Sementara itu, seorang lagi remaja lelaki 15 tahun cedera parah dan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sepasang suami isteri berserta anak-anak mereka berusia 10, 13 dan 17 tahun, yang menaiki Perodua Alza, dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan itu.

Ahmad Zamry berkata kemalangan pada 6.37 petang itu, dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HRV dari arah Kuantan memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja-kerja pembaikan jalan, namun lori di belakangnya gagal membrek dan hilang kawalan, lalu melanggar belakang Honda HRV itu.

Beliau berkata lori yang membawa muatan pasir itu kemudiannya memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza yang datang dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

Katanya pemandu lori itu mengalami kecederaan parah manakala pemandu dan penumpang Honda HRV serta dua kenderaan lain yang terlibat iaitu Proton Wira dan Perodua Bezza, dilaporkan selamat.

Ahmad Zamry berkata saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) di talian 07-9325811.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

— BERNAMA


Pengarang :