EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah melihat senapang kayu yang dipamerkan di Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor pada 14 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kapal korek terbesar diubah suai muzium, lonjak industri pelancongan negeri

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerja ubah suai kapal korek terbesar menjadi muzium perlombongan biji timah di Dengkil, sedang giat dijalankan sebelum dijadualkan dibuka tahun depan.

EXCO kebudayaan berkata muzium tersebut bakal menjadi satu lagi destinasi pelancongan menarik di Selangor, tambahan pula lokasinya yang strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kapal korek ini sedang dibaik pulih berikutan berlaku kebocoran. Kapal korek ini terbesar dan ada satu sahaja di dunia. Ini antara usaha Kerajaan Selangor untuk melonjakkan industri pelancongan.

“Selain itu, kita juga ada memohon peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC). Kerjasama semua pihak penting untuk merealisasikannya,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri berjaya memperoleh kapal korek antara terbesar di dunia melalui Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Kapal korek dengan berat melebihi 6,000 tan itu bakal dijadikan muzium bersejarah terletak di Dengkil dijangka siap menjelang tahun depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sektor kebudayaan dan kesenian amat penting kerana turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia khususnya Selangor.

“Kerajaan Negeri bersama para penggiat seni tempatan, secara berkumpulan mahupun individu perlu berganding tenaga.

“Selain tarikan seperti taman rimba, pantai atau tempat bersejarah, pelancongan seni dan budaya Selangor akan turut diperkenal dan disemarakkan pada pelancong luar dan domestik,” katanya.


Pengarang :