Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama penghuni ketika program Kunjungan Kasih Merdeka 2023 di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang pada 12 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kasih Malaysia peka, prihatin kebajikan warga emas, golongan memerlukan

Oleh JULIANA JOHAR

RAWANG, 12 SEPT: Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) menyumbang RM10,000 kepada Pusat Jagaan Titian OKU Nur dalam program Kunjungan Kasih Merdeka di sini hari ini.

Sumbangan diserahkan Pengerusi Kasih Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada penaung pusat jagaan itu, Normah Adlan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Biro Khas Kasih Datin Seri Normah Alwi (kiri) menyampaikan cek cura berjumlah RM10,000 kepada Pengasas Pusat Jagaan Titian OKU Nur Normah Adlan (kanan) ketika program Kunjungan Kasih Merdeka 2023 di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang pada 12 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Isteri Perdana Menteri berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pertubuhan itu prihatin dalam membantu menjaga kebajikan warga emas dan golongan memerlukan di negara ini.

“Kasih Malaysia sentiasa berusaha mengenal pasti rumah kebajikan yang perlu dibantu dan hari ini kita memilih Pusat Jagaan Titian OKU Nur.

“Sumbangan ini bukan sahaja daripada Kasih Malaysia tetapi juga Yayasan Food Bank Malaysia yang turut menyumbang barangan keperluan seperti makanan, lampin, cadar dan beras,” katanya ketika ditemui Selangorkini.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad bersama penghuni menyanyikan lagu Kebangsaan ketika program Kunjungan Kasih Merdeka 2023 di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang pada 12 September 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Normah berkata pihaknya bersyukur dengan bantuan untuk 86 penghuni pusat jagaan terdiri daripada kanak-kanak hingga warga emas berusia 90 tahun.

“Mereka terdiri daripada OKU seperti sindrom down selain warga emas yang berada dalam keadaan uzur.

“Sumbangan daripada NGO, orang perseorangan, agensi banyak membantu kerana kos operasi di sini setiap bulan kira-kira RM50,000,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Datin Seri Mardiana Muhamad yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

Dalam program sama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyumbang RM10,000 kepada rumah kebajikan itu.


Pengarang :