Pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) menunggu giliran untuk menaiki pengangkutan awam itu ke destinasi masing-masing ketika tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kekerapan LRT laluan Kelana Jaya kurang tiga minit tahun depan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sasaran kekerapan tren kurang tiga minit pada waktu puncak bagi transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dijangka dapat dicapai tahun depan, kata menteri pengangkutan.

Menurut Anthony Loke Siew Fook, kekerapan tren pada waktu puncak ketika ini ialah 3.8 minit selepas pengoperasian tiga tren baharu di laluan berkenaan, lapor Berita Harian.

Beliau berkata tren tersebut sebahagian daripada perolehan 27 tren baharu bagi LRT laluan Kelana Jaya bawah projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur 27 bernilai RM1.72 bilion.

“Sebanyak 11 tren telah diterima setakat ini (bermula September 2020) dan baki 16 set tren akan diterima secara berperingkat dari bulan ini sehingga Disember 2024.

“Dengan jumlah 44 tren pada waktu puncak ketika ini, kekerapan berkurang kepada 3.8 minit dan tambahan tren lagi tahun hadapan diharap waktu kekerapan kurang tiga minit,” katanya.

Loke menambah tambahan tren juga membantu mengurangkan jumlah muatan penumpang kepada 100 peratus dan memberi keselesaan berbanding 125 peratus sebelum ini pada waktu puncak.

Beliau juga yakin usaha tersebut dapat meningkatkan jumlah penumpang kepada 300,000 sehari berbanding 250,000 sekarang selain meminimumkan masalah teknikal yang kerap berlaku.

 


Pengarang :