Pemandangan dari atas Bukit Ketumbar, Cheras pada 29 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan hasrat bangun projek rintis Perumahan Inklusif Madani di bandar utama

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Projek rintis Perumahan Inklusif Madani akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pembinaan itu melibatkan 800 unit rumah dengan pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.

“Selain itu, tumpuan juga akan diberikan untuk meneroka potensi perkampungan persaraan yang inklusif bagi persediaan menghadapi impak negara menua,” katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Parlimen hari ini.

Anwar berkata kerajaan sentiasa cakna dalam soal perumahan dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi.

“Harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat telah membebankan rakyat. Dengan penglibatan semua sektor awam dan swasta, sasaran kita untuk membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 akan ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah dibina sehingga akhir 2022.

Perdana Menteri berkata anjakan utama Perumahan Rakyat akan terus ditambah baik melalui peralihan daripada konsep pemilikan kepada konsep tempat tinggal agar rakyat mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa.

“Skim Sewa untuk Beli akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah. Selain itu, inisiatif penyediaan tempat tinggal secara sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar utama yang telah dilaksanakan di beberapa tempat seperti di Johor dan Selangor akan dipertingkatkan lagi,” katanya.

Aspek perumahan merupakan tumpuan kedua dalam membangun masyarakat sejahtera untuk mengangkat darjat hidup rakyat termasuk kerohanian, kesihatan, perpaduan sosial dan pemerkasaan masyarakat Madani.

KSP RMK12 bertema “Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

– BERNAMA


Pengarang :