Pemandangan sawah padi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak ketika tinjauan pada 27 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan kaji benih padi mampu gandakan hasil pengeluaran

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melaksanakan kajian benih padi NMR 152 yang disasar mampu meningkatkan pengeluaran hampir sekali ganda berbanding benih lain.

Menterinya Chang Lih Kang berkata Agensi Nuklear Malaysia sedang melaksanakan penyelidikan berkaitan sektor agromakanan membabitkan benih padi berkenaan.

“Ia mampu mengeluarkan hasil tanaman sehingga 10 tan sehektar berbanding dengan kadar purata hasil padi lain sekitar enam tan sehektar di kawasan tanaman yang sama.

“Penghasilan benih baru NMR 152 ini juga diiktiraf dan diperakui di peringkat antarabangsa termasuk Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mengenai pembiakan mutasi pada 2014 dan 2021.

“Selain itu Anugerah Pencapaian Cemerlang Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Anugerah Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Lih Kang berkata Agensi Nuklear Malaysia juga sedang menaik taraf fasiliti dan makmal aplikasi teknologi nuklear dalam pertanian dengan peruntukan sebanyak RM5.3 juta yang dijangka siap 2025.

“Ia bagi meningkatkan keselamatan dan jaminan makanan melalui peningkatan produktiviti agromakanan melalui teknik biak baka mutasi selain teknik isotop stabil digunakan bagi menentukan ketulenan makanan serta mengesahkan asal usul produk tersebut.

“Mosti melalui inisiatif Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) melonjakkan hasil pengkomersialan penyelidikan, pembangunan dan inovasi tempatan daripada universiti, institusi, agensi penyelidikan tempatan.

“Sebanyak 474 produk, teknologi, perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan tempatan telah dikomersial dan dipasarkan dengan penjanaan hasil jualan sebanyak RM540 juta,” katanya.


Pengarang :