Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama barisan calon HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) mengangkat tangan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 di Hotel Wyndham, Klang pada 12 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kerajaan Perpaduan diterima, HARAPAN-BN benteng kekang Gelombang Hijau

Selangor membuktikan formula gabungan baharu Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos mampu menjadi benteng ampuh menentang lawan.

Pengerusi HARAPAN Selangor percaya kerjasama Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sejak November 2022 boleh diterima rakyat, sekali gus mengekang Gelombang Hijau yang direkayasa selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Walaupun dikatakan akan menerima tentangan sengit, keputusan adalah sebaliknya. Kita hanya kekurangan empat kerusi untuk mencatat kemenangan dua pertiga majoriti,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada malam kemenangan.

Ramai orang beranggapan kerjasama itu merugikan. Mereka fikir banyak kerusi terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN). Tanggapan itu bagaimanapun tidak sepenuhnya tepat.

Pada PRU 19 November yang menyaksikan persaingan tiga penjuru, HARAPAN memperoleh 16 kerusi parlimen, PN (6) dan BN (0). Namun jumlah kutipan undi HARAPAN-BN pada PRN 2023 menunjukkan gabungan itu boleh menang di tiga lagi kerusi walau tewas di Kuala Selangor.

Ertinya, jika kawasan parlimen turut dipertandingkan serentak pada 12 Ogos lalu seperti sebelum PRU ke-15, gabungan Kerajaan Perpaduan boleh menguasai 18 kerusi.

Begitu juga kemenangan BN di Sungai Air Tawar dan Dusun Tua pada PRN lalu, diandaikan hasil daripada sokongan pengundi Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik Institut Darul Ehsan (IDE) berpandangan semua undi ahli parti disumbang untuk Kerajaan Perpaduan.

“Dalam hal ini pengundi tegar iaitu ahli parti adalah kekal. Sebab itu jika tengok di peringkat negeri (Selangor), bagi kawasan HARAPAN menang, Umno memang beri (undi) kepada HARAPAN, begitu juga sebaliknya,” kata Khairul Ariffin Mohd Munir.

Jumlah undi di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini pada PRU 2022, masing-masing, menunjukkan BN tewas kepada PN dan HARAPAN.

Sekutu Melayu

Ketika PRU, sewaktu pembangkang meraih banyak kerusi di banyak negeri, jumlah kutipan undi di peringkat DUN menunjukkan Umno menang dua kerusi sahaja: Permatang dan Paya Jaras. Kedua-duanya kini dikuasai PN.

Namun BN yang dikuasai Umno sudah semakin lemah di Selangor sejak 2008 lagi. Kerusinya merosot daripada 20 kepada 12 (2013) dan empat (2018). Dalam tiga PRU ini, HARAPAN dibantu sekutunya PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Hanya ketika PRU lepas, HARAPAN berdiri tanpa sebarang sekutu parti Melayu. Kerjasama HARAPAN dengan Umno bagaimanapun tidak menyumbang sebanyak yang diharapkan akibat perpindahan sokongan pengundinya di banyak kerusi negeri.

Namun, ketewasan empat kerusi Parti Keadilan Rakyat dan dua Umno daripada sasaran awal gabungan Kerajaan Perpaduan hanyalah tipis.

Sasaran ini ditetapkan berdasarkan kutipan undi di peringkat DUN ketika PRU ke-15 yang menunjukkan PN boleh meraih hingga 14 kerusi. HARAPAN hanya meraih 40 daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi.

Tewas tipis

Jika dihitung, di enam DUN ini, HARAPAN dan BN tewas dengan jumlah 2,451 undi sahaja ketika PRN. Secara purata, setiap enam DUN ini tewas dengan majoriti 409 undi.

Benarlah kata Dato’ Menteri Besar kesan Gelombang Hijau tidak terlalu besar.

Khairul menyifatkan pertembungan tiga penjuru mungkin menjadi penyebab kekalahan tipis HARAPAN-BN bagi kerusi Sungai Kandis dan Gombak Setia.

“Bekas EXCO Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni kalah di Sungai Kandis dengan 167 undi gara-gara undi Ikatan Demokratik Malaysia. Sementara Pengerusi BN Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Gombak Setia kalah dengan 58 undi disebabkan pecahan undi untuk BEBAS,” katanya.

Tambahnya, sentimen kaum dan agama yang dimainkan PN sejak 2022 diteruskan ketika PRN. Ia masih berbekas dalam pemikiran pengundi Melayu. Manakala Kerajaan Perpaduan yang baru berusia sembilan bulan tidak dapat menunjukkan prestasinya.

“Walau sudah banyak perkara dibuat kerajaan (pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), namun penyokong (BN) ini masih melihat sentimen-sentimen sedemikian, itu berlakunya peralihan undi,” katanya lagi.

Ramai orang hanya membandingkan 51 kerusi HARAPAN pada 2018 dengan 34 sekarang. Mereka tidak sedar perubahan yang berlaku antara November lalu hingga Ogos.

 


Pengarang :