Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar penerangan kakitangan AeroDarat berkenaan kenderaan penunda elektrik pesawat komersial yang pertama di Malaysia menggunakan alat kawalan jauh selepas merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan pusat, Selangor kerjasama jayakan pelan tindakan industri aeroangkasa, RS-1

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan akan bekerjasama dengan pentadbiran negeri ini bagi menjayakan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Liew Chin Tong berkata Selangor menjadi pemain penting dalam sektor aeorangkasa di rantau ini selain pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan mengiktiraf industri aeroangkasa yang menjadi salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negara selain mencipta peluang kerja.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan Kerajaan Selangor untuk menjadikan (Malaysia) sebuah negara (hab) aeroangkasa,” katanya di Pusat Penerbangan Wilayah SkyPark, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berucap pada majlis pembukaan Pameran Udara Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah SkyPark, Shah Alam pada 7 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berucap sempena pembukaan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023, beliau berkata aeroangkasa juga dikenal pasti sebagai sektor keutamaan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) yang dilancar baru-baru ini.

“NIMP yang dilancar itu bertujuan menggiatkan semula sektor pembuatan negara dan memberi nilai tambah kepada RM587.5 bilion menjelang 2030 selain penciptaan 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Pembangunan hab aeroangkasa sebahagian daripada intipati teras satu RS-1 yang dibentang Kerajaan Negeri tahun lalu.

Ia meliputi lima subsektor iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aero, penyepaduan sistem, reka bentuk dan kejuruteraan, serta pendidikan dan latihan.


Pengarang :