PBTSELANGOR

Kes denggi di Sepang menurun, penduduk diseru teruskan gotong-royong

SEPANG, 27 SEPT: Kes denggi di Sepang menurun kepada 51 kes pada minggu epid ke-38 berbanding 59 kes pada minggu sebelumnya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata penurunan sebanyak 13.6 peratus itu bagi tempoh 17 September hingga 23 September lalu.

“Bagi minggu epid 36 sebanyak 57 kes manakala bagi minggu epid 37 pula sebanyak 59 kes, namun menurun kepada 51 kes pada minggu epid seterusnya.

“Tiada lokasi kes demam denggi baharu yang dilaporkan pada minggu epid sama,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bil 9/2023 di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu.

Dalam pada itu, Abd Hamid memaklumkan beberapa program gotong-royong dilaksanakan di lokasi panas  bagi memusnahkan tempat pembiakan aedes.

“Untuk jumlah kumulatif kes, tidak dinafikan berlaku peningkatan berikutan aktiviti masyarakat dijalankan seperti biasa berbanding ketika pandemik Covid-19 selain Sepang merupakan kawasan yang sedang pesat membangun.

“MPSepang memohon supaya masyarakat sentiasa prihatin serta teruskan amalan gotong-royong  memastikan kes denggi terus menurun selain mengelakkan mereka dikenakan kompaun oleh Jabatan Kesihatan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan bilangan lokasi panas pada minggu epid ke-36 menurun kepada 66 lokaliti berbanding 83 pada minggu sebelumnya.

Daripada 66 lokasi yang dilaporkan, 47 di Selangor, 13 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Kelantan dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Perak dan Sabah.


Pengarang :