BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kes denggi meningkat, masyarakat diseru tingkat amalan pencegahan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengajak orang ramai untuk terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan denggi susulan peningkatan kes Aedes di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan antara langkah yang boleh diambil termasuklah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dengan menutup dan memasukkan ubat jentik-jentik dalam bekas air terbuka.

Beliau turut menasihatkan supaya menukar air dalam jambangan bunga, buang air dan basuh pengalas pasu setiap hari, kerap memeriksa saluran air hujan bagi mengelak ia tersangkut dan melindungi diri daripada gigitan nyamuk.

“Peningkatan kes-kes denggi di Selangor membimbangkan ramai individu serta keluarga. Dengan pengamalan pencegahan dan tanggungjawab kolektif, kes denggi boleh diturunkan untuk menjamin keselamatan masyarakat sejagat.

“Ayuh kita amalkan langkah berjaga-jaga bagi memastikan diri dan keluarga dilindungi dari demam denggi,” katanya menerusi perkongsian poster di Facebook

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, jumlah kumulatif kes denggi mencatat peningkatan 68 peratus iaitu 41,703 berbanding 24,821 pada tahun lalu bagi minggu epid ke-37 (10-16 September).

Bagaimanapun, jumlah kematian berkurangan kepada lima berbanding 10 bagi tempoh yang sama.


Pengarang :