Pengurus Besar Kohijrah Mohammad Syukri Ismail meninjau persiapan Sayur Segar KoHijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah Seksyen 15 Shah Alam pada 11 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KoHijrah bakal lancar trak jualan barangan dapur, tumpu dua lokasi

SHAH ALAM, 11 SEPT: Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah) Selangor bakal melancarkan trak menjual barangan keperluan asas.

Pengurus Besarnya Mohammad Syukri Ismail berkata pelancaran akan dibuat dalam tempoh dua minggu bermula sekarang dengan menumpukan barangan jualan antaranya seperti sayur dan ikan.

“Buat masa ini kita fokus trak ini akan bergerak di kawasan pejabat bangunan kerajaan dan swasta sekitar Shah Alam serta Klang.

“Kita akan menjual pelbagai barangan asas dan segar seperti sayur, ikan, ayam, telur, daging, tepung dan pelbagai lagi kepada kakitangan kerajaan dan swasta.

Tinjaun orang ramai membeli ketika Sayur Segar KoHijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah Seksyen 15 Shah Alam pada 11 September 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Justeru, dengan cara ini mereka tidak perlu lagi ke pasar raya selepas waktu kerja sebaliknya hanya membeli-belah bahan masakan di trak Kohijrah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sayur Segar Kohijrah Jualan Rakyat di Laman Niaga Usahawan KoHijrah di Seksyen 15 di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini dua kawasan berkenaan menjadi tumpuan terlebih dahulu sebelum diperluas di beberapa lokasi lain bergantung atas sambutan pembeli.

“Usaha ini juga bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka ke kawasan bandar sekali gus menjimatkan masa individu bekerja untuk membeli keperluan asas hanya di tempat kerja mereka,” katanya.


Pengarang :