Oleh Fitri Hazim Hazam
SHAH ALAM, 1 SEPT: Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 terus disemarakkan komuniti setempat di Plaza Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi menzahirkan semangat cintakan negara.
MPK memaklumkan program Jom Aktif@Ambang Merdeka bersama Komuniti Klang anjuran usaha sama Kelab Sukan & Sosial MPK serta Persatuan Senamrobik Negeri Selangor itu sangat bermakna dengan kehadiran pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.
“Pelbagai acara menarik diadakan seperti senamrobik, pertandingan mewarna, pertandingan pakaian seragam, pertandingan nyanyian lagu patriotik dan kuiz kemerdekaan.
“Selain itu acara lelong barangan terpakai dianjurkan Persatuan Orang Orang Seni Kreatif (Positif) di Roundabout@Klang.
“Turut diadakan cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi program bersama warga Klang,” katanya menerusi Facebook.
Program yang diadakan di ruang Plaza MPK itu juga bertujuan mengembalikan kemeriahan dan populariti kawasan perniagaan terbabit.