Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
SELANGOR

KPDN: Tiada aduan bekalan beras kurang di Selangor

KUALA LANGAT, 30 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan beras.

Pengarahnya Mohd Zuhairi Mat Radey berkata ia berikutan kebanyakan penduduk cakna terhadap isu semasa dan mengetahui punca sebenar masalah tersebut.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey

“Tidak ada aduan di Selangor sebab rakyat Selangor sedar ini bukan masalah tempatan tetapi masalah dunia.

“Bekalan beras sebelum ini dari India dan Thailand disekat, jadi wujud lebihan permintaan. Ia menyebabkan masalah itu berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh di Teluk Panglima Garang di sini hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan program berkenaan.

Mohd Zuhairi menambah KPDN masih menjalankan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan beras mencukupi dan pematuhan harga oleh peniaga.

Menurutnya, pihaknya juga membantu peniga mendapatkan bekalan beras daripada rantaian menerusi kerjasama rapat dengan Kawal Selia Padi dan Beras Malaysia.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan stok Beras Putih Tempatan (BPT) cukup untuk memenuhi keperluan rakyat Selangor sebanyak 45,500 tan metrik sebulan.

Menurutnya bekalan tersebut cukup sehingga akhir bulan ini dan bertambah stabil pada bulan depan berikutan pengeluaran padi di utara semenanjung dan Selangor mula dituai.


Pengarang :