AGENDAJENAYAH

Lapan deretan kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

GEORGE TOWN, 8 SEPT: Lapan deretan kedai dua tingkat di Jalan Datuk Keramat, di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, A’azelan Hassan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.04 malam sebelum jentera pertama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba api sedang marak dan beberapa kedai yang terletak berhadapan restoran nasi kandar terkenal di situ sedang terbakar sebelum kerja pemadaman dijalankan.

“Kebakaran itu menyebabkan lapan kedai sederet di situ yang berkeluasan 4,800 kaki persegi terbakar namun setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai lain yang terdapat di deretan di situ dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Beliau berkata operasi memadam kebakaran itu dibantu lebih 100 pegawai dan anggota melibatkan BBP dari Lebuh Pantai, Bagan Jermal, Bayan Baru, Bandar Perda dan Sungai Bakap serta Pasukan Bomba Sukarela.

– BERNAMA


Pengarang :