Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San menandatangani akuan sumpah jawatan itu bagi penggal ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lau Weng San dilantik speaker Dewan Negeri, Mohd Kamri timbalan

Oleh Norrasyidah Arshad dan Zareef Muzammil

SHAH ALAM, 19 SEPT: Bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting Lau Weng San dilantik sebagai speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penggal ini.

Pelantikan diumum Setiausaha Dewan J Gayathri pada majlis mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama DNS ke-15 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Weng San yang dicadangkan wakil rakyat Sekinchan Ng Suee Lim untuk menggalas peranan itu mendapat sokongan majoriti ahli dewan melalui undi sulit.

Pemimpin berusia 45 tahun itu pernah menjadi wakil rakyat Kampung Tunku selama dua penggal sejak 2008 selain berkhidmat kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pada pilihan raya negeri lalu, Weng San tidak mempertahankan kerusi Banting bagi memberi laluan kepada EXCO Kebajikan V Papparaidu.

Beliau kemudian mengumumkan ADN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin sebagai timbalannya selepas disokong majoriti ahli dewan melalui proses sama.


Pengarang :