Timbalan Pengarah Pengurusan Jais Faisal Abdul Rajid (enam dari kanan) bersama Timbalan Pengarah (Operasi) Jais Salwana Ahmad Dahlan (lima dari kanan) bergambar bersama pengantin yang menyertai program pernikahan beramai-ramai, Aqdun Mubarak Zon 2 di Masjid Perodua, Bandar Serendah pada 23 September 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 100 pasangan terima manfaat bantuan perkahwinan, kurangkan beban, jimat masa

SELAYANG, 23 SEPTEMBER: Lebih 100 pasangan menerima manfaat melalui program Aqdun Mubarak: Memeterai Kontrak Keberkatan Ilahi anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejak 2015.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jais berkata program yang membantu umat Islam menjimatkan perbelanjaan perkahwinan itu memperuntukkan RM36,000 setiap kali dianjurkan.

“Setiap pasangan hanya mengeluarkan kos minimum RM2,000, manakala belanja keseluruhan majlis ditanggung Kerajaan Negeri termasuk melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor.

“Program tahunan ini membantu meringankan beban pasangan terutama mengurangkan belanja pengurusan majlis selain menjimatkan masa,” kata Salwana Ahmad Dahlan.

Beliau berkata dalam program hari ini bagi Zon 2, ia melibatkan sembilan pasangan dari daerah Gombak, Hulu Selangor, Petaling dan ia diadakan di Masjid Perodua Bandar Serendah.


Pasangan pengantin pada majlis akad nikah dalam program Aqdun Mubarak Zon 2 di Masjid Perodua, Bandar Serendah pada 23 September 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Katanya pada 19 Ogos lalu, tujuh pasangan pengantin menyertai program di Zon 1 iaitu membabitkan Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Seterusnya di Zon 3 kawasan daerah Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat dijadual berlangsung 14 Oktober di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras,” katanya.

Salwana berkata pasangan yang berminat menyertai program itu boleh membuat permohonan dengan hadir ke pejabat Jais atau Pejabat Agama Islam Daerah dan setiap permohonan akan diteliti serta memenuhi syarat ditetapkan atau sebaliknya.


Pengarang :