Kemampuan B40 memiliki rumah agak terhad dan lebih menjurus kepada penyewaan rumah. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 100,000 rumah mampu milik dibina dalam separuh penggal RMK12

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sebanyak 108,373 unit rumah mampu milik dibina sehingga hujung tahun lalu menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), maklum perdana menteri.

Berikutan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sasaran untuk membina 500,000 unit rumah mampu tercapai dengan pembabitan sektor awam dan swasta, lapor Berita Harian.

“Dalam soal perumahan, kerajaan sentiasa cakna dan menjadikannya agenda utama yang tidak boleh dikompromi. Kita sedar harga rumah dan kadar sewa yang meningkat membebankan rakyat,” katanya.

Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12 di Parlimen hari ini, beliau berkata anjakan utama perumahan rakyat akan terus ditambah baik untuk mewujudkan tempat tinggal selamat dan selesa.

Anwar berkata Skim Sewa untuk Beli juga akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai memiliki rumah selain inisiatif tempat tinggal secara sewaan kepada golongan kurang berkemampuan di bandar.

“Projek rintis 800 unit Perumahan Inklusif Madani akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Selain itu, tumpuan juga akan diberikan untuk meneroka potensi perkampungan persaraan yang inklusif bagi persediaan menghadapi impak negara menua,” katanya yang juga menteri kewangan.

 


Pengarang :