EXCO Keusahawanan Najwan Halimi merasmikan program Memperkasa Usahawan Muda Melalui e-Dagang anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di iCity, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 400 usahawan kecil sertai seminar e-dagang anjuran Sidec

SHAH ALAM, 21 SEPT : Lebih 400 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Selangor menyertai seminar e-dagang anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sejak Januari hingga hari ini.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata program anjuran bersama App Engage Sdn Bhd memberi pendedahan kepada peserta untuk memasarkan jualan dengan lebih tersusun menerusi kaedah pendigitalan menggunakan sistem Sprii Commerce.

“Sistem ini dapat membantu usahawan untuk mengurus inventori supaya lebih tersusun menerusi kaedah digital, pada masa sama mengurangkan kos menggaji pekerja.

“Urusan jualan dan pemasaran juga menjadi lebih sistematik dengan menggunakan platform ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Memperkasa Usahawan Muda Melalui e-Dagang di ibu pejabat Sidec di i-City di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Najwan menyarankan usahawan muda tidak hanya bergantung dengan konsep konvensional sebaliknya meneroka ekonomi kreatif meski hanya berniaga secara dalam talian.

“Kita menyasarkan 1,000 usahawan sertai seminar e-Dagang ini untuk mengasah bakat mereka dan beralih kepada ekonomi kreatif serta tidak lagi bergantung dengan konsep konvensional.

“Berbanding dulu peniaga memerlukan premis untuk berniaga tetapi kini mereka boleh berniaga hanya secara dalam talian cuma perlu rajin tambah ilmu seiring dengan cabaran digital masa kini,” katanya.

Terdahulu, lebih 100 usahawan PMKS menyertai seminar berkenaan yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 2.30 petang.

Maklumat lanjut berhubung tarikh dan waktu program e-Dagang anjuran Sidec seterusnya boleh diperoleh menerusi www.sidec.com.my

 


Pengarang :