AGENDAJENAYAH

Lelaki bertatu geng kongsi gelap terlibat pecah rumah di Ampang

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana memiliki tatu ahli kongsi gelap “geng 08” dan disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Dagang Permai 3, Taman Dagang Permai, Ampang, Selangor semalam.

Lelaki berumur 41 tahun itu ditahan di kediamannya di Jalan Industri, Puchong di sini, pada 12 tengah hari.

Dalam kejadian yang berlaku pada 5.50 pagi Rabu lepas itu, mangsa iaitu lelaki tempatan dan bekerja sebagai peniaga berusia 27 tahun telah terbangun daripada tidur dan mendapati tingkap dapur serta jeriji tingkap telah bengkok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata mangsa telah membuat pemeriksaan dan mendapati empat beg tangan berjenama yang diletakkan di kerusi bahagian dapur telah hilang.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek memiliki 13 rekod jenayah dan 12 rekod jenayah dadah, selain ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin.

Mohd Azam berkata polis turut merampas tiga Playstation 3, enam telefon bimbit, tiga beg komputer riba, tiga utas jam tangan, tujuh utas rantai leher dan dua kamera.

“Siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah mengumpil pintu dan tingkap belakang rumah serta kawasan perumahan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

“Suspek juga terlibat dalam empat kes pecah rumah di Ampang dan telah dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah bagi tujuan melakukan curi dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 merujuk kepada memiliki lambang tatu kumpulan kongsi gelap yang diisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang.

“Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai untuk tidak terlibat dalam sebarang perbuatan melakukan pecah rumah serta memiliki lambang kongsi gelap,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :