BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Lima kawasan berisiko bah, MPSepang pastikan kolam takungan berfungsi 

SEPANG, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memastikan lebih 20 kolam takungan di daerah itu berfungsi dengan baik untuk menampung aliran air tinggi berikutan peralihan monsun.

Yang dipertuanya memaklumkan seramai 26 anggota daripada Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) juga sedia digerakkan pada bila-bila masa jika banjir melanda daerah berkenaan.

Dato’ Abd Hamid Hussain menjelaskan pihaknya mengenal pasti lima kawasan berisiko dilanda musibah itu berdasarkan insiden bah besar di Selangor pada Disember 2021.

“Kita juga sedia gerakkan penguat kuasa dan kakitangan lain mengikut keperluan untuk membantu selain menyediakan beberapa kenderaan lain termasuk tiga bot,” katanya di sini hari ini.

Kawasan berisiko banjir yang dikenal pasti ialah Batu 2 Sungai Pelek, kawasan Pulau Meranti Puchong, Taman Dengkil Jaya, Kampung Semarang dan Labu Lanjut.

Abd Hamid menambah pihaknya turut meminta syarikat pembersihan dan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) untuk memastikan longkang tidak tersumbat.

Fasa peralihan daripada Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut dijadual bermula pada 19 September dan berterusan sehingga November depan.


Pengarang :