AGENDAJENAYAH

Lima lelaki dikhuatiri sesat di Gunung Tebu ditemui selamat

BESUT, 2 SEPT: Lima lelaki yang dikhuatiri hilang selepas tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki di kawasan hutan Gunung Tebu, Jabi, sejak tiga hari lalu ditemui selamat jam 9.15 pagi tadi.

Bapa mangsa, Mohamad Embong, berkata dua anaknya, Mohd Huzaimi, 38 dan Mohamad Huzaifah, 33, bersama tiga lagi rakan mereka dari Bukit Tunggal, Kuala Nerus terkandas di hutan berkenaan sejak Khamis lalu.

Katanya, jika diikutkan rancangan asal, kumpulan pendaki itu mahu keluar hutan dan terus turun dari gunung pada petang 31 Ogos, lapor Berita Harian.

“Anak memaklumkan ketika mereka dalam perjalanan menuruni gunung, ada pokok tumbang yang menghalang trek laluan asal untuk turun.

“Mereka cuba mencari jalan lain untuk turun tetapi tidak jumpa dan membuat keputusan kekal berada situ kerana seorang rakan tercedera akibat terseliuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, seorang daripada ahli kumpulan itu pernah beberapa kali mendaki Gunung Tebu yang menyebabkan dua anaknya memberanikan diri turut sama mendaki.

“Alhamdulillah pagi ini ketika sesi taklimat operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) anggota keselamatan sedang dilakukan mereka perasan kumpulan pendaki ini berjalan keluar dari kawasan hutan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua anggota keselamatan, orang kampung dan malim hutan yang turut sama membantu mencari mangsa sejak petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor, berkata Op SAR yang bermula kira-kira jam 8 pagi disertai tiga pegawai dan 20 anggota polis, enam pegawai dan 13 anggota bomba, dua pegawai dan 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam serta sembilan malim gunung.

“Kawasan Hutan Lata Belatan juga ditutup sementara pagi ini untuk melancarkan kerja operasi mencari dan menyelamat.

“Hasil siasatan mendapati mereka tersalah laluan ketika ke Gunung Tebu dan semua mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut,” katanya.


Pengarang :