Malaysia menyasarkan untuk mempercepat pelancaran 5G bagi mencapai 80 peratus liputan 5G pada akhir 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Liputan 5G di kawasan berpenduduk capai 68.8 peratus setakat 31 Ogos

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Sebanyak 5,724 tapak telah siap dibangunkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) yang merangkumi 68.8 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk setakat 31 Ogos 2023, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Beliau berkata pelaksanaan perkhidmatan 5G sedang giat dijalankan di seluruh negara oleh DNB untuk memastikan ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat dengan lebih cepat.

“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang mempergiatkan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memberikan capaian internet yang lebih baik di kawasan berpenduduk di bandar, luar bandar serta kawasan pedalaman.

“Setakat suku kedua 2023, 1,996 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi daripada 3,830 yang dirancang.

“Penaiktarafan 39,226 pemancar daripada 39,491 yang dirancang dan juga 3,085,297 premis tersedia dengan capaian gentian optik daripada 4,189,525 premis yang dirancang membantu meningkatkan peratusan liputan 4G,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Katanya, pada masa ini, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negara adalah 96.96 peratus.

Sementara itu, Teo berkata, dalam usaha untuk menambah baik kualiti perkhidmatan dan kadar liputan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, Sarawak telah diperuntukkan sebanyak 864 buah menara baharu, 3,725 pemancar untuk dinaik taraf, 207,135 premis tersedia dengan sambungan gentian optik berkeupayaan gigabit serta 523 lokasi bagi perkhidmatan jalur lebar satelit (BWA).

“Setakat suku kedua 2023, sebanyak 213 menara baharu telah siap dan beroperasi, 3,689 pemancar telah siap dinaik taraf, 106,331 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik berkeupayaan gigabit dan kesemua 523 lokasi BWA telah siap dan beroperasi sepenuhnya.

“Kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak setakat suku kedua 2023 pula adalah 87.52 peratus,” katanya.

Menurutnya, DNB menyasarkan sebanyak 589 tapak 5G dibangunkan di Sarawak menjelang penghujung 2023.

Mengenai pelaksanaan JENDELA di Sabah, beliau berkata, setakat suku kedua 2023, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di negeri itu telah meningkat kepada 90.47 peratus berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan pelan tersebut.

– BERNAMA

 


Pengarang :