Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kiri) merasmikan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2023 di Hotel KSL Esplanade Klang pada 10 September 2023. Foto ihsan Majlis Agama Islam Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais sedia RM25 juta bantu asnaf terpesong agama ke jalan benar

SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyediakan RM25 juta dari peruntukan zakat asnaf riqab tahun ini bagi membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata agihan tersebut juga digunakan untuk perlindungan, rawatan dan pencegahan serta pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

Beliau menjelaskan asnaf riqab merujuk kepada seseorang yang terbelenggu dengan masalah sosial dan
akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan terpesong agama.

“Sehingga Ogos lalu, Mais menyantuni 2,205 asnaf riqab melalui bimbingan 143 guru yang dilantik untuk membawa mereka kembali ke jalan benar dan diredai,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, katanya, Mais menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab selama sebulan mulai 1 September bagi memberi peluang kepada umat Islam mendekati golongan berkenaan.

Menurut Abdul Aziz, pelbagai aktiviti dirangka antaranya forum, ceramah kesedaran kesihatan, program bimbingan dan acara lain yang dianjurkan secara fizikal serta dalam talian.

“Sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan hal ehwal Islam di Selangor, Mais bertanggungjawab melaksanakan program kesedaran melibatkan masalah sosial, akidah dan kesihatan mental,” katanya.

Umat Islam yang ingin mendapatkan maklumay lanjut berhubung aktiviti kempen tersebut boleh merujuk media sosial Mais dan laman web www.mais.gov.my.

 


Pengarang :