Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) menyampaikan sumbangan RM510,000 kepada 81 pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) ketika Seminar Pemerkasaan PIBK 2023 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais sumbang RM510,000 kepada 81 pertubuhan Islam bukan kerajaan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Sebanyak 81 pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK) yang bernaung bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima sumbangan RM510,000 daripada agensi itu.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sumbangan diberi berdasarkan komitmen setiap persatuan dalam menangani ancaman akidah dan sosial di Selangor.

“Selain itu, sumbangan kewangan ini juga diberi mengikut Penilaian Prestasi dan Keberkesanan Program yang dianjur Mais bagi tempoh setahun.

“Semoga pemberian ganjaran ini akan mendorong semua pertubuhan ini untuk bersama berganding bahu dalam mempertahan dan memartabat kesucian Islam, khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Seminar Pemerkasaan PIBK 2023 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini, hari ini.

Antara PIBK yang menerima sumbangan berkenaan termasuklah Pertubuhan Guru Kafa Sabak Bernam, Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor, Pertubuhan Mualaf India Se-Malaysia, dan Persatuan Cina Muslim He-Ping.

Sementara itu, kira-kira 230 peserta daripada PIBK, Anggota Jawatankuasa Dakwah Negeri Selangor, ketua jabatan dan anak syarikat Mais serta orang awam menghadiri seminar itu.

Ia dianjur bagi memberi peluang kepada semua pihak bertukar idea dan pandangan dalam menangani isu ummah melibatkan kepentingan Islam di Selangor.


Pengarang :