Kaunter bayaran zakat di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor, Seksyen 14, Shah Alam. Foto Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Maybank, LZS jalin kerjasama tingkat kutipan dan agihan

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Maybank Islamic Bhd dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memeterai perjanjian kerjasama bagi memastikan kelancaran pelanggan membayar zakat selain memperkasa mereka untuk memberi impak sosial yang positif menerusi sumbangan masing-masing.

Perjanjian itu yang secara rasmi menyaksikan pelantikan Maybank Islamic sebagai bank operasi utama bagi LZS, dijangka dapat meningkatkan lagi sumbangan untuk program pembasmian kemiskinan dengan bank terbabit mengukuhkan usaha berkenaan menerusi saluran dalam taliannya.

“Menerusi kerjasama ini, kami menawarkan LZS dengan khidmat pengurusan tunai lebih cekap dan menyeluruh daripada kutipan zakat sehingga agihannya dengan memanfaatkan rangkaian perkhidmatan dan perbankan digital Maybank yang meluas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican.

LZS akan melaksanakan kutipan zakat tersebut menerusi pelbagai saluran kutipan seperti M2U, aplikasi dompet elektronik e-Maybank atau MAE, JomPay selain kad kredit dan debit manakala zakat yang diterima di kaunter pula dideposit melalui sistem jarak jauh di cawangan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pada masa ini agensi terbabit menyediakan lebih daripada 10 kaedah untuk umat Islam di negeri itu menunaikan kewajipan membayar zakat.

“Kerjasama dengan Maybank Islamic ini hanya melengkapkan lagi kemudahan rangkaian perkhidmatan kami,” katanya.

Mohd Sabirin berkata sebagai platform saluran pembayaran, Maybank memainkan peranan dalam peningkatan kutipan zakat di Selangor, termasuk RM52.8 juta pada tahun lepas yang menyumbang 63 peratus daripada keseluruhan kutipan daripada platform saluran pembayaran institusi kewangan lain yang dilantik oleh LZS.

Pada tahun lepas, LZS meraih kutipan zakat tertinggi mencecah RM1.07 bilion serta mengagih RM1.05 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 350,000 individu asnaf.

Daripada jumlah tersebut, majoriti atau RM885 juta telah disalurkan kepada institusi sosial, pendidikan dan agama manakala lebih RM700 juta diperuntukkan bagi pembangunan sosial untuk komuniti asnaf di Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :