Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Fit Malaysia Selangor di Gamuda Cove Central Park, Kuala Langat pada 2 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB alu inisiatif semak dan imbang, peluang jelas dasar negeri secara terperinci

KUALA LANGAT, 2 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengalu-alukan pembentukan jawatankuasa portfolio oleh Perikatan Nasional (PN) Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu sesuai dengan peranan blok pembangkang dalam melaksanakan tugas semak dan imbang kepada Kerajaan Negeri.

“Itu peranan mereka dalam melaksanakan tugas semak dan imbang. Saya alu-alukan (pembentukan jawatankuasa portfolio) dan kita akan cuba untuk menangani serta menjelaskan semua perkara.

“Ini peluang untuk pihak Kerajaan Negeri menjelaskan dasar kita dengan lebih terperinci serta menjawab segala serangan dan hal dibangkitkan,” katanya hari ini.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Fit Malaysia Selangor 2023 di Gamuda Cove Central Park di sini, Amirudin berkata semak dan imbang tidak terhad hanya dalam Dewan Negeri Selangor sahaja tetapi lebih meluas.

“Kita pada hari ini berdepan dengan proses semak dan imbang yang berlaku setiap hari dan setiap masa khususnya dengan perkembangan media sosial,” katanya.

Amirudin mengulas berkenaan Jawatankuasa Portfolio diumum Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini melibatkan bidang utama diketuai Ahli Dewan Negeri daripada blok pembangkang berdasarkan kemahiran masing-masing.


Pengarang :