Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas istiadat konvokesyen ke-17 Universiti Selangor (Unisel) di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Bekalan cukup, beras Sekinchan atasi isu kekurangan

KUALA SELANGOR, 9 SEPT: Bekalan beras di negeri ini mencukupi dan akan dipantau bagi memastikan keperluan berkenaan sentiasa ada, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui berlaku kekurangan beras antara 10 hingga 15 peratus pada awal bulan lepas namun dapat diatasi dengan pengambilan bekalan dari Sekinchan.

“Saya juga pantau harga jualan dengan teliti dan kita cuba atasi kalau berlaku (kekurangan beras) di daerah-daerah. Setakat ini laporan memaklumkan tidak kritikal dan masih terkawal.

“Kita juga berhubung dengan kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup serta jabatan berkaitan untuk pantau isu ini dengan lebih dekat,” katanya ditemui pada Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor ke -17 hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga meneruskan Jualan Ehsan Rahmah (JER) bagi memudahkan orang ramai mendapatkan beras serta barangan keperluan lain.

“Dalam masa sama kita nak pastikan beras di pasar raya atau kedai mencukupi. Kalau di JER sahaja, orang terpaksa berbaris panjang untuk beli,” katanya.

Pada Julai, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui terdapat kekurangan bekalan beras tempatan disebabkan faktor cuaca.

Beliau berkata keadaan ketika ini tidak sesuai sekali gus merencatkan pertubuhan padi untuk menghasilkan bekalan makanan tersebut.


Pengarang :