Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan susun atur projek mendalamkan sungai ketika majlis perasmian Projek Mendalam dan Melebarkan Tebatan Banjir Sungai Klang di Kota Kemuning, Shah Alam pada 1 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB harap projek tebatan banjir disegerakan, elak tragedi 2021 berulang

SHAH ALAM, 21 SEPT: Beberapa projek tebatan banjir yang digariskan kerajaan Persekutuan sebelum ini diharap dapat disegerakan pihak berkaitan bagi mengelak tragedi 2021 berulang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan itu juga penting bagi melancarkan kemasukan pelabur asing ke negara ini khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II sempena Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“(Misalnya) rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar, begitu juga (RTB) Sungai Langat fasa dua. Ini merupakan perkara penting dan jumlahnya (kos) juga besar kerana lanjutan daripada RTB fasa pertama.

“Hal ini kalau boleh dilaksanakan segera kerana trauma dan ingatan kita terhadap tahun 2021 (bah besar) masih lagi membekas selain memberi kesan kepada kehadiran pelabur yang bertanya adakah banjir ini masih berulang,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Dialog bersama Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong sempena Jelajah Belanjawan 2024 ke Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pada 2 Ogos, EXCO infrastruktur dan kemudahan awam dilapor berkata kerajaan Persekutuan meluluskan RM455.2 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir.

Menurut Ir Izham Hashim, ia meliputi RTB Sungai Kayu Ara, RTB Sungai Buloh, RTB Sungai Langat fasa satu dan RTB Sungai Kuyoh yang dijangka mengambil masa enam hingga tujuh tahun.

Selangor pula meluluskan peruntukan sebanyak RM615.06 juta kepada jabatan terbabit bagi 73 projek tebatan banjir selain Peruntukan Akaun Amanah Caruman Parit sebanyak RM41.4 juta membabitkan lapan projek.


Pengarang :