Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika melancarkan lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEBWM di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Jualan beras di tujuh lokasi bantu atasi isu bekalan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Sebahagian penganjuran program Jualan Ehsan Rahmah (JER) bakal menumpukan jualan beras sebagai langkah menangani isu kekurangan bekalan itu ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut antara penyelesaian awal Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan sehingga bekalan beras kembali stabil.

“Kerajaan Negeri sedia melakukan intervensi dan tujuh lokasi dipilih apabila kita lihat bekalan kritikal. Kita sedang susun semula JER untuk selaraskan dengan persekutuan.

“Sementara penyusunan semula selesai, kita tumpu kepada jualan beras. Ini langkah intervensi sahaja untuk stabilkan bekalan, tidak boleh berkekalan,” katanya selepas melancarkan lori kompaktor baharu KDEB Waste Management di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bakal bertemu wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini bagi mengetahui status bekalan beras di Selangor.

Bermula hari ini, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjual 2,700 kampit beras lima kilogram dengan harga serendah RM10 di tujuh lokasi sehari.

Lokasi terlibat ialah cawangan Wisma PKPS (Seksyen 14), Ehsan PKPS (Seksyen 9), Ehsan PKPS (Meru), Kiosk Ehsan (Selangor Fruit Valley) dan tiga lori jualan bergerak Ehsan PKPS.


Pengarang :