Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Pavillion Malaysia ketika Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di Pusat Konvensyen Pameran Indonesia (ICE) BSD City, Jakarta pada 27 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB lancar Pavilion Malaysia dalam Pesta Buku Indonesia

Daripada Fazallah Pit

JAKARTA, 27 SEPT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Pavilion Malaysia yang memperaga bahan terbitan negara ini dalam Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di sini.

Pavilion kelolaan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) disertai 25 agensi termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Jumlah tersebut bertambah lebih sekali ganda berbanding 12 pada tahun sebelumnya.

Selain PPAS, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Yayasan Karyawan, Penerbit Universiti Teknologi Mara serta beberapa perpustakaan negeri turut menyertai pavilion berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran selepas merasmikan Pavillion Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia, Pusat Konvensyen Pameran Indonesia (ICE) BSD City, Jakarta pada 27 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pavilion ini menjadi platform terbaik untuk kita perkenal karya terbitan Malaysia kepada masyarakat Indonesia. Ia juga memanjangkan usaha intelektual dan unsur kebudayaan yang sedia terjalin,” katanya hari ini.

Hadir sama dalam pelancaran itu antaranya Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Noor Amin Ahmad; EXCO negeri Najwan Halimi dan Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhammad.

Pesta buku yang turut disertai Korea, China dan Thailand berlangsung di Pameran Persidangan Indonesia di Tangerang di sini mulai hari ini hingga 1 Oktober.


Pengarang :